• image

    Laman Web Majlis Profesor Negara

    Kini berwajah baru!

Guru Pembina Negara Bangsa & Cabaran Pendidikan Abad ke- 21
Tarikh Rakaman : 18 Mei 2017
Tarikh Siaran : 21 Mei 2017
Panelis :
  1. Prof. Datuk Dr. Tamby Subahan Mohd Meerah
  2. Dr. Ahmad Zabidi Abd. Razak

Negara kini sedang mengahadapi cabaran menuju abad ke-21. Guru adalah antara pihak berkepentingan yang tidak terlepas dengan cabaran ini dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang diilhamkan oleh negara bagi menyahut cabaran globalisasi, isu ekonomi dan isu semasa. Golongan guru sedang mendepani cabaran untuk mempraktikkan falsafah pendidikan negara dalam skala perubahan yang sedang berlaku pada hari ini. Apa yang diharapkan ialah, melahirkan golongan pelajar yang mampu bersaing dalam pasaran dan menjadi individu pencipta berbanding individu pengguna di samping mengamalkan nilai murni dan budaya Malaysia. Berdasarkan itu, guru kini turut berperanan sebagai fasilitator yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah untuk menggalakkan pelajar menggunakan ilmu melalui adaptasi teknologi, inovasi dan kreativiti yang akan mengasah pemikiran beraras tinggi.

Menjelang abad ke-21, tanggungjawab guru tidak lagi tertakluk kepada pembelajaran di dalam kelas semata-mata. Tumpuan guru sering terganggu dengan hal yang tidak berkaitan dan menyebabkan tugas hakiki tidak dapat dilaksanakan secara berkesan. Oleh yang demikian, guru dituntut untuk sentiasa terbuka dalam menerima ilmu baharu dan kemahiran baharu kerana pelajar hari ini cenderung ke hadapan khususnya dalam ilmu teknologi. Dalam pada itu, perlu ada sokongan dan kerjasama yang baik antara guru, guru besar dengan ibu bapa supaya modal insan yang dilahirkan memiliki ciri-ciri yang memenuhi kriteria yang diperlukan negara. Dalam hal ini, guru perlu mempunyai jati diri yang kuat untuk mendepani setiap perubahan dan cabaran yang berlaku.

Masyarakat juga perlu mengubah paradigma minda yang mengukur kecemerlangan murid hanya berdasarkan pencapaian akademik semata-mata. Pelajar yang kurang menonjol dalam bidang akademik perlu dilihat kekuatan dan kecenderungan mereka. Sebagai contoh, bidang kemahiran, kesenian, keusahawanan mahupun bidang sukan. Berdasarkan itu, guru perlu menyeimbangkan antara aspek pedagogi dan kokurikulum supaya bakat pelajar dapat dikesan lebih awal. Dalam pada itu, penggunaan elemen teknologi juga perlu diterapkan supaya teknik pengajaran dan pembelajaran adalah selaras dengan perkembangan semasa.

Posted in Dialog 2017, Dialog Pemikir Negara, Isu Strategik Negara on May 22, 2017




MPN @ MEDIA SOSIAL

Galeri
             

Dasar Privasi Laman | Hubungi MPN
Hakcipta Terpelihara © 2018 Majlis Profesor Negara