Ikatan Profesor Indonesia-Malaysia dan Diplomasi Saluran Kedua


Interaksi dalam kalangan komuniti ilmuwan, budayawan, sasterawan dan seniman antara masyarakat Malaysia dan Indonesia memang telah terjalin sekian lama, sebelum terbentuk Negara-bangsa Malaysia dan Indonesia lagi. Interaksi tersebut terjadi dalam konteks wujudnya keserumpunan budaya dan bahasa kedua-dua masyarakat. Malaysia mencapai status sebuah Negara yang merdeka pada 1957 (kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu) dan Republik Indonesia pula menjadi sebuah Negara-Bangsa yang merdeka pada 1947. Sejak kemerdekaan kedua-dua negara ini, hubungan formal terjalin melalui saluran pertama, iaitu saluran diplomatik. Salah satu perkara penting yang terjadi dalam dekad 1970an ialah bahawa guru-guru sains dan matematik daripada Indonesia telah dibawa masuk untuk mengajar di sekolah-sekolah terpilih, ia itu sekolah aliran kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Apabila Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan pada 1970, ramai para pensyarah sains dan matematiknya terdiri daripada tenaga akademik daripada Indonesia. Oleh itu boleh dikatakan bahawa tenaga akademik dan ilmuwan Indonesia banyak memainkan peranan membantu pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan di Malaysia. Namun begitu, sejak tiga puluh tahun lampau, ramai sekali pelajar daripada Indonesia yang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan doktor falsafah di universiti-universiti awam di Malaysia. Ini bermakna hubungan para ilmuwan kedua-dua negara semakin rapat, dan bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia semakin digunakan di peringkat akademik tinggi. Dalam masa yang sama juga, perbedaan dua bahasa serumpun ini semakin dirasai, dan mungkin perlu ditangani dengan baik.

Kini, interaksi dan kerjasama tenaga akademik dan ilmuwan kedua negara ini terjalin menerusi Ikatan Profesor Indonesia-Malaysia (IPIMA) yang ditubuhkan pada 2013 menerusi gandingan usaha Majlis Profesor Negara (MPN) dan Asosiasi Profesor Indonesia (API). Kini, kerjasama juga terjalin antara MPN dengan Forum Dewan Guru Besar Indonesia (FDGBI). Salah satu isu yang sering muncul dalam diskusi santai antara MPN dengan API dan FDGBI ialah hasrat untuk menjadikan Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu, iaitu dua bahasa serumpun, yang mempunyai penutur kelima teramai di dunia, menjadi salah satu bahasa akademik dan bahasa rasmi dunia.

Kertas yang bertajuk “Bahawa Indonesia dan Bahasa Melayu: Serumpun Tetapi Tidak Serupa”, tulisan Kamaruddin M. Said, yang sepatutnya dibentang di Pekanbaru, Riau, pada April 2020 yang lalu, adalah satu percubaan untuk melakar satu kerangka konseptual tentang keserumpunan dan kalainan bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia ini. Hipotesis yang dikemukakan di sini ialah bahawa Bahasa Indonesia, memandangkan jumlah penuturnya yang cukup besar (265 juta) akan menjadi bahasa pentakrif dan akan memimpin proses serta perjuangan menjadikan bahasa serumpun ini diiktiraf sebagai bahasa akademik dan bahasa rasmi di dunia. Sebagai satu strategi, kerana Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu adalah nama rasmi yang termaktub dalam Undang-Undang Dasar Indonesia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, maka satu nama yang lebih boleh diterima oleh kedua-dua pihak merujuk kepada bahasa serumpun ini ialah “Bahasa Nusantara Raya.” Maka dengan pemikiran yang positif dan strategi yang mantap, langkah untuk menjadikan Bahasa Nusantara Raya ini sebagai salah satu bahasa ilmiah dan bahasa rasmi dunia mungkin akan dapat digerakkan dengan penuh keyakinan.

Catatan
Prof. Dr. Kamaruddin M. Said
Timbalan Presiden MPN
5 Mei 2020

Posted in Kolumnis, Utama on May 06, 2020




MPN @ MEDIA SOSIAL

Galeri
             

Dasar Privasi Laman | Hubungi MPN
Hakcipta Terpelihara © 2018 Majlis Profesor Negara