• image

    Syarahan Perdana STEM 2018

    2 Oktober 2018 | 9:00 pagi - 1:00 t/hari

    Dewan Resital, UMS
  • image

    Laman Web Majlis Profesor Negara

    Kini berwajah baru!

Industri 4.0: Masa Hadapan Malaysia

Ledakan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) telah membuka mata banyak pihak untuk mengenal pasti cabaran dan implikasinya dari pelbagai perspektif. Kluster Industri dan Inovasi, MPN telah mengambil inisiatif mengadakan satu sesi perbincangan meja bulat dengan mengangkat tajuk Industri 4.0: Masa Hadapan Malaysia. Tujuannya adalah untuk menelusuri fenomena IR4.0 di negara ini dan mengenal pasti implikasinya pada masa hadapan. Banyak perkara perlu diperhalusi kerana ledakan IR4.0 dijangka akan menyebabkan pelbagai perubahan. Hal ini bukan sahaja melibatkan aspek pentadbiran dan kepimpinan negara, malah aspek kesejahteraan rakyat seperti kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pemerkasaan bidang pendidikan dalam bidang sains dan teknologi serta pembangunan sumber manusia.

Perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Prof. Dr. Zahari Taha, Timbalan Ketua Kluster Industri dan Inovasi, MPN. Fokus perbincangan adalah terhadap aspek cabaran yang akan dihadapi Malaysia dalam melalui fasa revolusi ini. Antaranya ialah PKS di negara ini yang dilihat masih lagi ketinggalan dari sudut penggunaan teknologi dan kurangnya kemahiran pekerja tempatan untuk mengendalikan penggunaan mesin yang canggih. Dari sudut pendidikan pula, kurangnya minat pelajar untuk menerokai bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) juga akan menjadi cabaran yang hebat bagi negara untuk menghadapi era IR4.0.

Berdasarkan kepada cabaran dan implikasi IR4.0 ini, ahli perbincangan mengusulkan supaya penggunaan wearable technologies dan industri Internet of Things (IoT) terus diperkasakan dan diperluaskan ke segenap lapisan masyarakat. Kesedaran mengenai peri pentingnya masyarakat untuk menguasai bidang STEM perlu disuntik dalam kalangan rakyat di negara ini agar matlamat Malaysia untuk memiliki modal insan yang cemerlang dalam bidang sains dan teknologi sama ada dalam pengajian mahupun kerjaya tercapai. Penguasaan rakyat dalam bidang STEM dilihat signifikan untuk membantu negara mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada masa hadapan. Oleh itu, industri 4.0 dijangka dapat membuka mata banyak pihak untuk tekad menguasai bidang sains dan teknologi agar revolusinya dapat diselusuri sebaik mungkin.

05.jpg

06.jpg

Posted in 2017, Aktiviti, Arkib 2017 on Aug 24, 2017




MPN @ MEDIA SOSIAL

Galeri
             

Dasar Privasi Laman | Hubungi MPN
Hakcipta Terpelihara © 2018 Majlis Profesor Negara