Pekerja Beramanah, Aspirasi Negara

SAMBUTAN HARI PEKERJA 2019
"Pekerja Beramanah, Aspirasi Negara"

Bersama:
Prof Datuk Dr Raduan Che Rose
Presiden/CEO Majlis Profesor Negara

Tahniah kepada 14.99 juta sumber daya tenaga pekerja di sektor awam dan swasta di Malaysia sempena sambutan Hari Pekerja 2019. Sesungguhnya tarikh keramat ini akan sentiasa kekal dan disambut oleh para pekerja disetiap negara seluruh dunia sebagai simbol pengiktirafan terhadap sumbangan para pekerja sebagaimana dipersetujui oleh Badan Buruh Antarabangsa (ILO). Sejarah perjuangan para pekerja melalui Kesatuan Sekerja khususnya di USA dan Australia yang bermula lebih 300 tahun dahulu, yang gigih dan nekad untuk memperjuangkan kebajikan pekerja yang akhirnya mencetus aturan ‘8 hours labour, 8 hours recreation, 8 hours rest’ yang diamalkan sehingga sekarang. Selanjutnya, Malaysia hanya mula mengiktiraf sambutan Hari Pekerja dan menjadikannya cuti umum mulai Mei 1972.

Soalan:
1. Di dalam konteks Malaysia, apakah isu berkaitan pekerja yang menjadi cabaran untuk menjadikan negara sebagai negara maju berpendapatan tinggi?

Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun dan berada diambang negara maju, Malaysia sedang mengalami proses perubahan struktur ekonomi dan sosial yang sangat ketara. Secara relatifnya, Malaysia dengan jumlah penduduk sekitar 32 juta orang adalah sebuah negara bersaiz sederhana besar, menduduki tempat ke 42 didunia. Mengikut perangkaan terkini, terdapat 14.99 juta tenaga buruh di negara ini, dengan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 68.2% dan kadar penggangguran 3.4%. Namun demikian, penelitian yang mendalam akan menimbulkan pelbagai cerita mengenai pekerja dinegara ini.

Secara umumnya, kita dapati kedudukan dan pencapaian pekerja di Malaysia adalah lebih baik berbanding dari kebanyakan negara membangun lain dan hanya tertinggal dibelakang Singapura dirantau ini. Namun demikian, jika dibandingkan dengan taraf pekerja dinegara maju, kita masih mempunyai jurang pencapaian yang masih jauh khususnya dari aspek produktiviti dan kadar pendapatan pekerja. Tanpa disedari, negara sebenarnya telah terjerlus didalam perangkap kesederhanaan yang berpanjangan kerana kebergantungan tinggi kepada sistem ekonomi berasaskan buruh (labour-intensive) khasnya dengan kadar penyertaan buruh luar asing yang dikatakan melebihi 6 juta orang, dimana hanya 2.1 juta sahaja berdaftar.

Antara prasyarat bagi mencapai status negara maju yang berpendapatan tinggi adalah melalui peralihan kepada tenaga kerja yang 'berproduktiviti tinggi serta berpendapatan tinggi'. Pada dasarnya, Malaysia akan memperoleh manfaat dengan peralihan kepada ekonomi yang bersaing berasaskan kualiti tenaga kerja, kemahiran teknikal dan penggunaan teknologi dan automasi serta inovasi tinggi. Peralihan struktur dan strategi ini memerlukan pelaksanaan dasar awam yang selaras, sejajar dan konsisten dengan sasaran menjadikan negara sebagai negara maju. Dasar-dasar ini perlu disokong dengan pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan, serta inisiatif penaiktarafan industri.

2. Baru-baru ini kita juga disajikan dengan Laporan Bank Negara yang mengatakan graduan dinegara ini menerima gaji yang semakin rendah sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi. Bagaimana Datuk melihat ini dalam konteks menjadikan negara ini terus maju dengan sokongan lebih ramai pekerja berijazah dan berkelulusan tinggi?

Banyak telah kita perkatakan mengenai isu ini. Ianya banyak bergantung kepada taktifan mengenai gaji itu sendiri, antara gaji nominal dan gaji sebenar. Laporan gaji menurun oleh BNM itu adalah merujuk kepada nilai gaji sebenar selepas mengambil kira kadar inflasi semasa, dan ini adalah bersamaan dengan nilai kuasa membeli didalam tempoh itu. Didalam masa yang sama Persatuan Majikan-majikan pula memaklumkan bahawa kadar gaji permulaan bagi tempoh itu (gaji nominal) sebenarnya mengalami kenaikan, namun kenaikannya tidak boleh menampung kadar inflasi yang dihadapi dalam tempoh berkenaan.

Disebalik perkara itu, terdapat isu besar lain yang terbit dari keadaan itu. Ianya berkaitan dengan peluang pekerjaan didalam bidang yang setara dengan kelayakan akademik para graduan yang menimbulkan gejala ‘underemployed’ dan ‘job mismatch’ dalam kalangan graduan yang tinggi.

Institut Penyelidikan Khazanah melalui kajiannya melaporkan 95% daripada pekerja muda berada dalam kategori pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran manakala 50% daripada pekerja yang membuat pekerjaan manual dan berkemahiran rendah mempunyai tahap kelayakan yang lebih tinggi daripada yang diperlukan oleh jenis pekerjaan sedemikian. Keadaan ini sebenarnya menunjukkan ekonomi negara tidak mewujudkan jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk menyerap bilangan siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan, dan angkanya akan semakin bertambah setiap tahun. Gejala ini sebenarnya merupakan kadar ‘underemployed’ dalam kalangan graduan negara disebalik kadar pengganguran yang dikatakan sebanyak 3.4% sahaja.

3. Disebalik isu-isu dan cabaran yang sedang dihadapi negara, apakah perkembangan positif yang berlaku didalam negara yang boleh diraikan oleh para pekerja di negara ini khasnya bersempena dengan sambutan Hari Pekerja 2019 ini?

Tema Hari Pekerja 2019 “Pekerja amanah, aspirasi negara” merupakan hasrat yang sangat murni yang perlu menjadi pedoman dan pegangan semua pekerja dinegara ini. Selain daripada itu ianya perlu dilengkapkan dengan sikap yang lebih professional didalam melaksanakan tugas, termasuk matlamat untuk meningkatkan prestasi melalui kemahiran yang lebih tinggi, semangat saling menghormati serta membelakangkan kepentingan peribadi.

Beberapa langkah kerajaan yang mula diperkenalkan termasuk kadar gaji minimum, kajian perangka perundangan (Akta Kerja, Akta Kesatuan Sekerja, dll). waktu kerja fleksibel, dll. merupakan sesuatu yang boleh diraikan oleh pekerja sebagai langkah memperbaiki kualiti kehidupan. Selain itu pihak pekerja juga perlu menyediakan diri dengan persekitaran baru termasuk keperluan untuk melaksanakaan kerja pelbagai fungsi (multi-skills) serta persaingan global.

Semua para pekerja di negara ini diharapkan dapat menumpukan segala kebolehan dan kepakaran untuk menjadikan negara sebagai sebuah negara maju yang sebenarnya, yang seterusnya akan memberi faedah dan kebahagiaan kepada seluruh masyarakat.

Posted in Hebahan, Utama on May 01, 2019




MPN @ MEDIA SOSIAL

Galeri
             

Dasar Privasi Laman | Hubungi MPN
Hakcipta Terpelihara © 2018 Majlis Profesor Negara