• image

    Selamat Menyambut

    Hari Kebangsaan 2018

  • image

    Salam Aidil Adha

    1439H / 2018

  • image

    Laman Web Majlis Profesor Negara

    Kini berwajah baru!

Penemuan Fakta Baru Pulau Batu Puteh Peluang Untuk Malaysia
Tarikh Rakaman : 10 Februari 2017
Tarikh Siaran : 12 Februari 2017
Panelis :
  1. Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad
  2. Dr. Roy Anthony Rogers

Pulau Batu Puteh berada di kedudukan 8 batu nautika dari Pulau Lusoh di Johor dan 25 batu nautika dari Singapura. Berdasarkan kedudukan tersebut dan dokumen sejarah yang dimiliki Johor, Pulau Batu Puteh adalah sah sebagai hak milik Johor. Namun, pada tahun 2008, mahkamah dunia memutuskan Pulau Batu Puteh menjadi hak milik Singapura disebabkan Malaysia tidak menjalankan kawalan yang efektif selepas tahun 1980. Keputusan tersebut adalah berdasarkan undang-undang yang mengatakan bahawa Malaysia akan kehilangan hak ke atas Pulau Batu Puteh sekiranya tidak menunjukkan kawalan yang efektif dalam satu tempoh masa tertentu.

Namun begitu, Malaysia diberi ruang selama 10 tahun untuk mengumpul bukti dan mencari penemuan baharu yang membolehkan tuntutan semula dibuat. Malaysia kini dalam usaha untuk mendapatkan maklumat dan fakta baharu yang membolehkan Malaysia memfailkan semula tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh. Hasilnya, tiga dokumen sejarah berjaya ditemui. Pertama, koresponden dalaman oleh pihak berkuasa kolonial Singapura pada tahun 1958. Kedua, laporan insiden oleh pegawai tentera laut British pada tahun 1958. Ketiga, peta berkaitan dengan operasi tentera laut sekitar tahun 1960. Disebabkan mahkamah dunia tidak diberi kesempatan untuk melihat ketiga-tiga dokumen ini, ia telah menjadi bahan penting kepada negara dan berfungsi sebagai penentu kepada keputusan mahkamah dunia. Penyelidikan terperinci perlu dijalankan supaya lebih banyak bukti bertulis dapat ditemukan. Sebagai contoh, surat koresponden yang dihantar oleh pihak British kepada Sultan Johor bagi mendapatkan kebenaran membina rumah api di pulau tersebut.

Sekiranya kandungan semua dokumen yang ditemui itu dapat menyanggah isu kawalan efektif, berkemungkinan Malaysia mempunyai peluang untuk membuat tuntutan semula. Proses tuntutan Pulau Batu Puteh ini bukan sahaja berkaitan dengan isu wilayah, malah menjadi penanda aras tentang diplomasi dan tadbir urus negara kerana ianya berkaitan dengan isu politik, ekonomi dan sebagainya antara dua negara. Penyelesaian dengan cara yang lebih matang adalah penting supaya tiada implikasi negatif dalam hubungan baik antara dua negara ini. Semua pihak disaran bertanggungjawab dengan peranan masing-masing dan saling bergandingan demi kedaulatan negara.

Posted in Dialog 2017, Dialog Pemikir Negara, Isu Strategik Negara on Feb 13, 2017




MPN @ MEDIA SOSIAL

Galeri
             

Dasar Privasi Laman | Hubungi MPN
Hakcipta Terpelihara © 2018 Majlis Profesor Negara