• image

    Laman Web Majlis Profesor Negara

    Kini berwajah baru!

Semarak Kasih 2017

Program Semarak Kasih adalah program tahunan MPN yang dianjurkan setiap kali menjelang bulan Ramadan untuk meraikannya bersama-sama dengan golongan kurang bernasib baik. Pada masa sama, program Semarak Kasih juga merupakan wadah pertemuan MPN dengan pihak berkepentingan dan masyarakat dari sisi yang berbeza. Di samping meraikan bulan Ramadan, ia juga menjadi saluran kepada ahli MPN dan pihak berkepentingan untuk beramal dan menunjukkan rasa prihatin kepada golongan yang kurang berkemampuan khususnya anak yatim dan golongan asnaf. Anjuran Program Semarak Kasih kali kelima pada tahun 2017 telah diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 16 Jun 2017.

Dalam majlis ini, Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi dan Prof. Tan Sri Zakri Abdul Hamid selaku Pengerusi MPN telah diundang sebagai tetamu khas. Uniknya Program Semarak Kasih ini ialah selain daripada majlis berbuka puasa, para jemputan juga berpeluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma. Untuk itu, MPN telah mendapat kerjasama sepenuhnya dari Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik UiTM untuk menjalankan sesi pemeriksaan kesihatan seperti pemeriksaan mata, gigi dan tekanan darah.

Seramai kira-kira 285 orang anak yatim dan tiga buah keluarga asnaf telah diundang khas dari Rumah Pengasih Warga Prihatin, Telaga Kasih Nur Muhammad dan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Al-Nasuha. Majlis dimulakan dengan tayangan montaj dari MPN diikuti dengan persembahan nasyid dari penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin. Selepas berbuka puasa, semua hadirin melakukan solat Tarawikh berjemaah. Turut berlangsung ialah sesi penyampaian sumbangan duit raya kepada anak yatim dan bantuan keperluan asas kepada golongan asnaf. Dalam kesempatan yang sama, turut berlangsung ialah sesi pelancaran Buletin MPN Edisi Pertama oleh Dato’ Seri Idris Jusoh.

23.jpg

24.jpg

Posted in 2017, Aktiviti, Arkib 2017 on Jun 16, 2017




MPN @ MEDIA SOSIAL

Galeri
             

Dasar Privasi Laman | Hubungi MPN
Hakcipta Terpelihara © 2018 Majlis Profesor Negara