• image

    Laman Web Majlis Profesor Negara

    Kini berwajah baru!

Kepentingan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Kesihatan Negara
Tarikh Rakaman : 13 Julai 2017
Tarikh Siaran : 16 Julai 2017
Panelis :
  1. Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose
  2. Prof. Dr. Mohamed Ibrahim Abu Hassan

Pada awal tahun 2017 Kementerian Kesihatan telah mengumumkan kelonggaran syarat lulus Bahasa Malaysia sebagai kelayakan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan subjek Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Persetujuan telah diberikan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan hal ini telah menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat sama ada negara perlu berkompromi sedangkan piawaian bagi semua lantikan kontrak atau perkhidmatan awam adalah perlu kredit atau sekurang-kurangnya lulus dalam subjek Bahasa Malaysia. Pengumuman oleh Kementerian Kesihatan itu juga menjadi tumpuan kerana ia dilihat melanggar Perlembagaan Negara yang menggariskan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Walaupun hal ini akhirnya telah ditarik balik oleh Jemaah Menteri namun, rakyat perlu jelas dengan hal sebenar yang berlaku iaitu, jumlah pelajar yang terlibat adalah 23 orang sahaja dan merupakan kumpulan pelajar yang tidak mengambil SPM atau mengikuti sistem pendidikan negara sebaliknya, mengikuti sistem pendidikan antarabangsa seperti O' Level dan A' Level.

Sebenarnya, kepentingan untuk menguasai Bahasa Melayu tidak tertakluk kepada mereka yang berkhidmat dalam bidang perubatan sahaja sebaliknya dalam bidang lain juga seperti bidang perhubungan awam. Dalam bidang perubatan, seorang pegawai perubatan perlu menguasai bahasa rasmi negara dengan baik supaya komunikasi sama ada secara lisan atau bertulis dengan pesakit menjadi lebih mudah dan tidak menimbulkan kekeliruan. Seperti mana di luar negara, setiap pegawai perubatan juga wajib untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Dalam usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara seperti mana yang termaktub di dalam Perkara 152 atau Akta 32, ia perlu disetarakan. Perlu ada sinergi yang baik antara pihak kerajaan dengan swasta.

Bahasa Malaysia bukan sahaja menjadi syarat dalam skim perkhidmatan awam tetapi perlu digunakan dalam semua aspek. Kursus intensif dan latihan Bahasa Malaysia juga perlu dilaksanakan untuk menentukan bahawa semua rakyat yang memberi khidmat dan menerima khidmat berinteraksi dalam Bahasa Malaysia.

Posted in Dialog 2017, Dialog Pemikir Negara, Isu Strategik Negara on Jul 17, 2017




MPN @ MEDIA SOSIAL

Galeri
             

Dasar Privasi Laman | Hubungi MPN
Hakcipta Terpelihara © 2018 Majlis Profesor Negara