Saiz Penjawat Awam Malaysia, Benarkah Terlalu Besar?

Ulasan Khas:
Saiz Penjawat Awam Malaysia, benarkah terlalu besar?

Perkara-perkara asas yang rakyat perlu tahu.

  1. Jumlah penjawat awam negara adalah seramai 1.7 juta, termasuk Sektor Pendidikan 460k, Keselamatan (Polis dan Tentera) 250k, Kesihatan 190k dan selebihnya penjawat awam Persekutuan, Negeri dan Badan Berkanun. Saiz perkhidmatan awam sangat berkait dengan tahap dan strategi ekonomi sesebuah negara.

  2. Jumlah 1.7 juta berbanding dengan jumlah tenaga kerja negara adalah bersamaan hampir 12% sahaja. Banyak negara maju mempunyai penjawat awam melebihi 20% dari keseluruhan tenaga kerja. Jumlah itu juga bersamaan ratio 1:19 berbanding penduduk negara. Masih banyak lagi negara mempunyai ratio lebih rendah dari Malaysia.

  3. Sebahagian Sektor, lebih ramai lagi perlu ditambah bagi memberikan perkhidmatan lebih berkesan, termasuk Sektor Pendidikan, Keselamatan dan Kesihatan. Bilangan guru perlu ditambah bagi mengecilkan saiz kelas, sasaran ratio doktor penduduk 1:400 masih jauh untuk dicapai, dan anggota polis dan tentera masih jauh tertinggal berbanding negara maju.
  4. Umumnya ianya juga menggambarkan kualiti kehidupan yang dinikmati oleh rakyat.

  5. Namun demikian saiz itu boleh dikurangkan mengambil kira kemajuan teknologi dan data raya, potensi perkongsian sumber merentasi Kementerian dan Jabatan, multi-skill workforce, dll. Selain itu sistem kerja lebih anjal (flexible work arrangement) dari segi skop, aturan masa dan lokasi mempunyai potensi tinggi untuk diterokai.

  6. Isu lain yang turut dibangkitkan adalah beban tanggungan kerajaan atas pembayaran pencen kepada hampir 800k pesara serta waris. Ianya berjumlah lebih 30 billion setahun atas kumpulan yang tidak lagi aktif memberi perkhidmatan. Mungkin perlu ada kajian untuk melihat sistem pembayaran faedah persaraan baharu yang lebih sesuai. Perlu juga ambil kira jangka hayat yang telah meningkat, 74 lelaki dan 76 wanita hadil tahap kesihatan yang bertambah baik.

  7. Sebarang strategi perlu dilakukan secara jangka pendek, sederhana dan jangka panjang, mengambil kira banyak isu lain berkaitan. Contohnya, jika dikurangkan saiz, adalah juga menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyedia peluang pekerjaan kepada yang terlibat didalam Sektor ekonomi lain. Ia juga perlu latihan semula, selain menentukan sektor ekonomi lain bersedia untuk dikembangkan.

Ringkasnya, sebarang tindakan menyentuh perkhidmatan awam perlu dilakukan dengan kajian komprehensif, jelas matlamatnya dan memberi kesan baik kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose
27 Februari 2019

Posted in Isu Semasa, Utama on Feb 27, 2019




MPN @ MEDIA SOSIAL

Galeri
             

Dasar Privasi Laman | Hubungi MPN
Hakcipta Terpelihara © 2018 Majlis Profesor Negara