image

Sejarah

Sejarah & Latar Belakang

Sejarah MPN

Awal Penubuhan

Majlis Profesor Negara (MPN) adalah sebuah organisasi yang ditubuhkan bagi menggerakkan kepakaran tenaga akademik bagi membantu usaha kerajaan untuk membangunkan Negara dan memberi kesejahteraan kepada masyarakat. Idea asal penubuhannya datang dari aspirasi Menteri Pengajian Tinggi yang ingin melihat tenaga kepakaran akademik tertinggi dalam pelbagai bidang yang terhasil dari kerja penyelidikan dan pengalaman digunakan secara strategik melampaui dari fungsi asas pensyarah di Universiti masing-masing.

Semasa awal penubuhannya itu, keahlian MPN adalah terhad kepada para profesor yang berkhidmat di Universiti Awam yang jumlahnya seramai 1426 orang. Model pembentukan MPN yang mengumpulkan semua profesor dalam Negara yang terdiri dari pelbagai latarbelakang dan kepakaran di bawah suatu organisasi merupakan sesuatu yang unik dan pertama dilakukan oleh mana-mana Negara didunia kerana kebiasaannya majlis sedemikian ditubuhkan berasaskan kepada bidang kepakaran (model UK) atau mengikut wilayah (Australia). Sementara itu bagi menentukan ianya boleh bergerak dengan efektif, MPN distrukturkan melalui 14 buah Kluster berdasarkan bidang kepakaran.

Perkembangan Fungsi MPN

Hampir 4 tahun beroperasi dibawah naungan Kementerian Pengajian Tinggi, MPN telah menangani isu-isu yang timbul serta membantu menawarkan kepakaran kepada pelbagai pihak termasuk Kementerian, Agensi-agensi Pelaksana, Kerajaan Negeri, industri serta pelbagai pihak lain. Namun demikian kerana sifat dan kedudukannya yang bernaung dibawah Kementerian Pengajian Tinggi, tanggapan umum masih berpandangan bahawa MPN adalah sebuah badan ekslusif yang menangani isu-isu pendidikan sahaja. Setelah perkara ini diperhalusi, pihak Kerajaan khasnya melalui perbincangan dengan YAB Perdana Menteri akhirnya bersetuju agar MPN dijadikan sebagai organisasi pusat dan diletakkan dibawah naungan Jabatan Perdana Menteri mulai 21 Mac 2014. Sesuai dengan sifatnya pula, ianya memberi ruang bagi MPN untuk muncul beroperasi sebagai sebuah entiti bebas, berautonomi serta membolehkannya bergerak secara merentasi sempadan pelbagai kementerian dalam Negara. Bagi tujuan itu juga maka MPN telah didaftarkan sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (Company Limited by Guarantee) di bawah Akta Syarikat 1965 dengan mempunyai perlembagaannya sendiri serta struktur dan governans yang diketuai oleh Lembaga Pemegang Amanah, EXCO. Secara keseluruhannya operasi MPN digerakkan oleh sebuah sekretariat tetap yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif/Presiden mulai 16 Disember 2014.

Mengikut perlembagaan asalnya, semua Profesor dari Universiti Awam yang dilantik mengikut sistem dan Skim Perkhidmatan Akademik Universiti adalah secara automatiknya menjadi ahli MPN. Namun, selaras dengan hasrat untuk memastikan penglibatan yang lebih meluas, keahlian MPN telah diperpanjangkan kepada para Profesor dari Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, sementara Profesor Madya pula diterima sebagai ahli bersekutu. Berdasarkan kepada aturan itu, jumlah keahlian MPN sehingga akhir tahun 2016 adalah seramai hampir 2,500 orang Profesor serta hampir 4,000 Profesor Madya.

Selain dari pihak Sekretariat Pusat MPN yang berperanan untuk mengatur urusan tadbir urus dan pengoperasian secara menyeluruh, struktur MPN juga telah diaturkan berdasarkan kepada 14 buah Kluster dan 2 Projek Khas. Pembentukan Kluster itu secara dasarnya adalah menggambarkan kumpulan kepakaran akademik yang ada, dimana setiap ahli MPN perlu memilih untuk menjadi ahli kepada kluster-kluster yang ditubuhkan itu.

Kluster dan Projek Khas berkenaan adalah seperti berikut:-

  1. Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan
  2. Kluster Ekonomi dan Pengurusan
  3. Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa
  4. Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya
  5. Kluster Sains dan Matematik
  6. Kluster Kejuruteraan dan Alam Bina
  7. Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar
  8. Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan
  9. Kluster Industri dan Inovasi
  10. Kluster Pertanian dan Makanan
  11. Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi
  12. Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan
  13. Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam
  14. Kluster Perpaduan Nasional
  15. Projek Khas Nasional (Pengajian Tinggi Swasta)
  16. Projek Khas Nasional (Media, Demokrasi dan Sistem Elektoral)

Bagi melicinkan pengurusan kepakaran para profesor di semua peringkat, cabang-cabang MPN (MPN Universiti) juga turut ditubuhkan disetiap 20 Universiti Awam.

Pada 5 September 2016, sekretariat MPN Inc. telah berpindah ke pejabat barunya seperti berikut:

Majlis Profesor Negara
Aras 5, Blok C7, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62520 Putrajaya
Telefon: +603 8870 2800
Faks: +603 8870 2880

Galeri
             

Dasar Privasi Laman | Hubungi MPN
Hakcipta Terpelihara © 2018 Majlis Profesor Negara