Penggunaan Teknologi Dalam Pendidikan Tinggi, Memantap Daya Saing Negara di Peringkat Global

Monday, 27 November 2023

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi, menekankan keperluan mendesak untuk mengintegrasikan teknologi dalam sektor pendidikan, terutamanya di peringkat pengajian tinggi. Beliau menyuarakan pandangan ini semasa persidangan International Conference On Advancing And Redesigning Education (ICARE’23) di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) 21 November lalu.

Dalam tema “Reshaping Future Education through Digital Transformation,” Menteri Mohamed Khaled yang diwakili oleh Pengerusi Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Suud, menyatakan bahawa penggunaan teknologi bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan asas bagi memastikan Malaysia kekal bersaing di persada pendidikan global.

Beliau turut menyambut baik cadangan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyusun Kertas Putih bertajuk ‘A New Horizon for Science, Technology and Innovation – A Strategy for Malaysia.’ Kertas putih tersebut dijangka merangkumi strategi untuk menghadapi cabaran teknologi masa kini dan merancang langkah ke depan.

Naib Canselor UTP, Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, turut menyokong pandangan ini dengan menegaskan perlunya integrasi teknologi dalam kurikulum pengajian untuk mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran tempat kerja yang semakin dinamik.

ICARE’23, yang dianjurkan oleh Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) dan bersama Majlis Ketua-ketua E-Pembelajaran IPTA (MEIPTA), bertujuan menjadi platform untuk mendalami dan melaksanakan strategi transformasi pendidikan tinggi melalui penggunaan teknologi. Persidangan ini juga menekankan kerjasama antara akademik, penyelidik, graduan, dan industri bagi meningkatkan budaya penyelidikan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.

Sumber Berita: Astro Awani

Anda Mungkin Berminat