MPN Sertai Forum Dewan Guru Besar Indonesia

Monday, 4 December 2023

Majlis Profesor Negara telah menerima jemputan menyertai Kongres dan Seminar Forum Dewan Guru Besar Indonesia (FDGBI) anjuran Universitas Syiah Kuala (USK) di Acheh pagi tadi.

FDGBI adalah forum di mana para profesor dari dua negara berkumpul untuk berdiskusi dan bertukar pandangan ke arah pembangunan mutu kualiti pendidikan bagi kedua-dua negara.

Presiden Majlis Profesor Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose telah dijemput bagi memberi ucapan utama yang bertajuk ‘Mengekalkan Sinergi dan Persaingan Dalam Kalangan Universiti: Berdasarkan Pengalaman Malaysia’.

Kongres yang bertemakan “Sinergi Sektor Pendidikan Tinggi Dalam Pencapaian Indonesia Emas 2045” ini diadakan bagi mendalami situasi dan cabaran pendidikan di Indonesia ketika ini serta strategi meningkatkan lagi kualiti pendidikan tinggi bagi mencapai visi Indonesia Emas 2045.

Turut hadir bersama, Ketua Pegawai Operasi MPN, Prof. Ir. Ts. Dr. Yusoff Taib, Felo MPN, Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Ketua Kluster Warisan & Sosiobudaya MPN, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar serta Setiausaha Kluster Pendidikan & Pembangunan Modal Insan MPN, Dr. Anuar Ahmad, dan lebih 170 profesor dari pelbagai institusi pendidikan tinggi di Indonesia.

Kongres diadakan bermula 30 November sehingga 3 Disember 2023 ini menjadi medan terpenting kearah kepimpinan dan hala tuju FDGBI demi mengangkat martabat pendidikan Indonesia ke tahap yang lebih baik dengan menggunakan nilai pemikir kedua-dua negara yang turut sama menjayakan kongres ini.

Anda Mungkin Berminat